Saturday, February 19, 2011

Prinsip- prinsip Komunikasi Islam

Yang pertama ialah benar secara berkomunikasi . Ucapan hendaklah berlandaskan kebenaran dengan merujuk kepada Al-quran, petunjuk dan ilmu. Al-quran turut menyatakan bahawa berkomunikasi yang benar adalah pra-syarat untuk kebenaran amal. Selain itu, ahli cerdik pandai menyatakan bahawa penyakit jiwa individu mahupun sosial timbul kerana penggunaan bahasa yang tidak benar.

Kedua, kita hendaklah bercakap dengan lemah lembut. Ini bukan bermaksud lemah lembut yang keterlaluan yang biasanya di kaitkan dengan golongan ‘lembut’. Ianya lebih kepada berkomunikasi secara sopan dan teratur untuk menunjukkan kita hormat kepada orang yang kita sedang berinteraksi.

Ketiga, kita hendaklah menggunakan perkataan yang baik-baik. Ini kerana perkataan yang kita ucapkan semasa berinteraksi juga merupakan satu jenis cara doa. Justeru itu, hendaklah kita ucapkan perkataan yang baik-baik.

Keempat, penggunaan hikmah dan nasihat yang baik hendaklah bersesuaian dengan keadaan.

Kelima, penyesuaian bahasa dan isi percakapan kita hendaklah sama dengan tahap kecerdasan akal pandangan. Ini biasanya dikaitkan dengan pepatah ‘makan garam terlebih dahulu’. Berkomunikasi dengan orang yang lebih tua tidaklah sama caranya berkomunikasi dengan rakan-rakan kerana perbezaan pengalaman dan usia serta tahap kematangan.

Keenam, kita hendaklah berbahas dengan cara yang lebih baik. Tidak semestinya berbahas dengan hanya menurut emosi itu baik. Berbahas dengan ilmu dan cara pengolahan ayat itu lebih penting bagi memastikan pihak yang mendengar dapat memahami pandangan dengan jelas selain menggunakan cara pendekatan yang bertimbang rasa.

Ketujuh, menyebut perkara yang penting berulang-ulang kali. Ini bagi memudahkan untuk mengingat malahan ada orang cerdik pandai berpendapat bahawa kita hendaklah menyebut sesuatu yang penting itu sebanyak 44 kali berulang kali bagi memastikan orang itu tidak lupa.

Kelapan, kita perlulah mengotakan apa yang dikatakan. Memungkirinya seolah-olah menipu seseorang. Malahan orang yang suka memungkiri kata-katanya di anggap sama seperti musyrikin.

Selain itu, Dr Mohd Yusof Hussain menerangkan pentingnya menggunakan prinsip-prinsip komunikasi yang betul iaitu:

Hikmah. Penggunaan hikmah sangat penting bagi membuka hati orang untuk menimbang, menyetujui dan melaksanakan apa yang didorongkan

Mauizatul Hasanah. Mendorong atau menasihati orang dewasa untuk melakukan makruf tidak semudah mendorong seorang anak kecil. Justeru itu, ianya perlu diberikan secara baik dengan menggunakan bahasa lembut dan disampaikan dengan nada suara yang enak didengari serta riak muka yang menunjukkan kita ikhlas.

Monday, February 7, 2011

Sumber Rujukan Komunikasi Islam

Sumber utama bagi komunikasi Islam adalah Al-Quran itu sendiri. Ini kerana berdasarkan kepada pengertian komunikasi Islam yang telah saya post terlebih dahulu, Al-Quran merupakan ajaran komunikasi. Ini di jelaskan oleh beberapa ayat ,antaranya:
  1. 'Hendaklah terdapat sebahagian daripada kamu umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah kepada kemungkaran dan merekalah orang yang mendapt keuntungan'. (ali-Imran:104)
  2. "Sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpaling dari orang-orang yang musyrik". (Al-Faj: 94)
Sumber kedua ialah As-Sunnah sebagai Amali atau praktikal atau model operasi:

  1. "Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akalnya masing-masing". (Riwayat Muslim)
  2. "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik atau lebih baik diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetangganya. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akbirat hendaklah memuliakan tetamunya" (Bukhari, Muslim)
Sumber ketiga ialah para ulamak yang merupakan penerus pengembangan model komunikasi Rasulullah S.A.W dan Al-Quran dari masa ke semasa melalui proses ijtihad dan prinsip dalil qat'i.

Semua aktiviti komunikasi di tuntut oleh agama kepada umat Islam secara fardhu Ain dan secara fardhu Kifayah bagi memenuhi kepentingan dan kewajiban secara individu dan secara masyarakat.

Secara kesimpulannya, dapat saya katakan bahawa berkomunikasi ini merupakan tuntutan bagi setiap manusia. Malahan, untuk berkomunikasi secara betul msetilah berpandukan kepada sumber-sumber yang sah dan bukan hanya cakap-cakap kosong seperti bergosip, mengata da sebagainya.

Wassalam